NEW DELHI: India pada Ahad melaporkan kes keempat membabitkan jangkitan cacar monyet, dan kes pertama direkodkan di New Delhi.

Tiga kes pertama dikesan di selatan Kerala, pada 14 Julai, 18 Julai dan 22 Julai.

Pesakit yang menghidap wabak itu telah dimasukkan ke hospital kerajaan dan dilaporkan tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara, lapor Xinhua.

Menurut sumber hospital, pesakit mengalami demam dan kulit melecet dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Tiga kes cacar monyet sebelum ini mempunyai sejarah perjalanan ke negara-negara berisiko sebelum disahkan positif sejurus pulang dari luar negara.

Pada Sabtu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan cacar monyet sebagai kecemasan kesihatan global.

Lebih 16,000 kes cacar monyet telah dilaporkan dari 75 negara dan wilayah, dengan lima kematian setakat ini.

-- BERNAMA